Sebagai seorang manusia yang waras sesiapa sahaja inginkan kebahagiaan dalam hidup. Tidak ada seorang pun yang ada akal ingin menjadi hamba orang lain, hidup susah dan merempat, sedih sepanjang masa dan berhadapan dengan emosi-emosi yang negatif untuk jangka masa yang lama.
Oleh kerana semua manusia yang berakal mahukan kebahagiaan yang mutlak dalam hidup, maka diwujudkan notion layani orang lain seperti mana yang anda mahu orang melayani anda. Treat others the way you want to be treated.
Ingatan terhadap konsep ini menjadi sangat kuat tatkala saya berhadapan dengan situasi sewaktu saya dalam perjalanan membeli barang-barang dapur di pasaraya Ashan, Moscow baru-baru ini. Saya dan dua orang rakan-rakan yang lain ke sana dengan menaiki metro sehingga ke stesen Yasenevo di mana kami boleh membuat pilihan sama ada ingin menaiki bas percuma (shuttle service) atau masyrut (van teksi) yang berbayar. Oleh sebab petang itu petang Jumaat, maka ramai sekali orang yang ingin ke pusat membeli-belah Mega yang menempatkan pasaraya besar Ashan itu. Jumlah yang menunggu teksi masyrut pun sudah terlalu ramai, apatah lagi yang menunggu bas percuma. Suhu sejuk begitu mencengkam, saya agak sudah melampaui lebih negative 10 di bawah paras beku. Saya dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menaiki masyrut sahaja.
Kami beratur selama lebih kurang 15 minit. Barisan yang sudah dibentuk agak panjang. Apabila tiba giliran kami untuk menaiki masyrut yang seterusnya, tiba-tiba ada sekumpulan remaja lelaki Russia yang memotong barisan. Kami pun agak emosional juga, tapi tak boleh nak buat apa selain mengutuk dalam bahasa kebangsaan yang sungguh kononnya kami banggakan itu. Makcik-makcik Russian lain yang lama juga menunggu pun turut menunjukkan perasaan marah mereka. Remaja-remaja lelaki tersebut tetap tidak mempedulikan makcik-makcik itu, siap boleh tolak-tolak lagi makcik-makcik yang tua tu. Sungguh kurang ajar. Dalam hati saya sangat marah. Akhirnya kami naik juga masyrut itu, bersama-sama dengan remaja-remaja yang hampeh itu. Akibat tak tahan sejuk untuk menunggu kedatangan masyrut seterusnya, dua orang rakan saya naik juga masyrut yang saya naiki. Saya bernasib baik naik awal sedikit dan dapat duduk namun dua kawan saya itu agak kurang bernasib baik, mereka terpaksa berdiri. Bukan berdiri macam dalam bas, tapi berdiri setengah dengan membengkokkan lutut tak sampai 90 darjah kerana siling van masyrut itu tidak cukup tinggi untuk membolehkan seorang dewasa berdiri.
Petang jumaat di mana orang berpusu-pusu menuju kawasan kediaman masing-masing di kawasan suburban Moscow menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan kami. Perjalanan yang sepatutnya cuma 15 minit menjadi lebih kurang 45 minit. Walaupun bukan saya yang berdiri, saya menahan marah sepanjang perjalanan dan memandang remaja-remaja Russian yang menaiki masyrutt bersama-sama dengan saya dengan penuh perasaan benci yang meluap-luap. Kalau ada pistol dan Russia berada dalam keadaan anarki tanpa undang-undang sudah lama saya letakkan peluru di antara sepasang mata-mata tersebut. (kalau ada pistol-lah, kalau tak ada saya tak berani juga sebab saya tak kuat)
Ini membuatkan saya terfikir berbagai-bagai perkara sepanjang perjalanan yang lebih lama dari biasa itu.
Apa yang membuatkan seseorang itu berhenti dari melakukan perkara yang tidak begitu menyenangkan terhadap orang lain?
Konsep paling senang dan mudah sudah tentu ialah layani orang lain seperti mana anda mahu orang lain melayan anda. Konsep ini sangat universal dan mudah difahami. Senang diterima oleh orang pelbagai latar belakang, melampuai didikan budaya dan bangsa. Sebagai contoh, saya kini berazam untuk tidak akan memotong barisan dalam apa jua keadaan yang tidak mendesak.
Namun tidak semua orang memiliki ingatan terhadap pengalaman dan sikap empati sebegitu. Remaja-remaja Russian yang kurang ajar tadi jika dipotong barisan mereka bila-bila di waktu yang lain, barangkali tidak akan terfikir atau terkenang pun tentang perbuatan mereka yang menolak makcik-makcik itu tadi.
Ini membawa saya tefikir tentang undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang. Barangkali jika ada polis yang berkawal di situ, ataupun mak bapak remaja-remaja itu (yang member mereka duit saku untuk pergi ke shopping mall itu), mereka akan segan sedikit dan tidak sampai menolak makcik-makcik yang sudah lama menunggu masyrut itu. Namun hakikatnya tidak ada polis yang mengawal, dan tidak ada undang-undang bertulis yang mengatakan anda tidak boleh memotong sesuka hati barisan orang lain. Bahkan kalau ada sekalipun, belum tentu ia jadi cukup penting untuk dikuatkuasakan dan hanya tinggal atas kertas sahaja.
Ini baru cerita pasal beratur menaiki masyrut. Belum lagi pelanggaran hak-hak manusia lain yang kadang-kadang sangat jelas dan blatant, namun kadang-kadang sangat halus dan tersembunyi juga. Siapa-siapa pun boleh melakukannya, termasuk saya sendiri tanpa disedari. Bila keadaan ini berlaku, maka satu perasaan yang negative di sisi manusia lain telah diwujudkan. Perasaan marah, sedih kecewa, geram, rasa terhina. Pencuri yang mencuri harta orang lain berasa gembira kerana mendapat untung dari hasil pencurian tanpa memikirkan kesusahan orang yang kehilangan harta. Pembunuh (walau atas apa jua alas an) telah menyebabkan keluarga si mati bersedih. Neo-colonialists dalam bentuk yang berbagai di zaman hari ini menggunakan pelbagai taktik modern-day slavery dan menyebabkan ramai orang bekerja dengan gaji yang sangat rendah, menghasilkan bahan-bahan buangan yang mencemar alam sekitar dan menyebabkan kesusahan terhadap begitu ramai orang akibat kerosakan yang menimpa alam sekitar ini. Ini baru satu aspek berkaitan alam sekitar, belum lagi lain-lain bentuk penindasan.
Pencuri-pencuri low-class barangkali boleh disumbat ke dalam penjara demi menjaga keamanan manusia-manusia yang lain. Tapi pada hakikatnya kacau bilau dunia hari ini dimulakan oleh orang-orang yang berada dalam posisi-posisi tinggi pelbagai pertubuhan di dunia termasuklah menduduki kerusi politik tertinggi sesebuah negara. Mereka berada di luar cakupan undang-undang yang mereka sendiri ciptakan. Mereka terus menerus memastikan mereka sentiasa cukup seronok dengan kuasa dan harta. Pemastian itu sudah tentu dilakukan dengan mengambil hak orang lain lantas telah mencabuli hak manusa lain untuk hidup seronok dan aman damai.
Timbul satu lagi soalan penting, siapa yang mengawal mereka? Siapa yang dapat memastikan manusia-manusia lain tidak dinafikan hak untuk hidup dengan seronok dan aman damai?
Nampaknya manusia dalam tamadun moden sangat mementingkan aspek keseronokan dan kebahagian yang dicari dalam hidup ini sehinggakan Amerika Syarikat dalam deklarasi kemerdekaannya menyebut bahawa hak mencari kebahagiaan hidup dan kebebasan merupakan hak yang dikurniakan oleh Si Pencipta kepada semua manusia. Untuk tujuan ini manusia mencipta undang-undang dan penguatkuasaan untuk meghalang manusia lain daripada membuat kacau bilau. Undang-undang kadang-kadang menggunakan kekerasan untuk menegakkan kebenaran. Bila Nazi Germany melampaui batas dalam Perang Dunia Kedua, tidak ada undang-undang yang dapat menyekatnya. The League of Nations yang ditubuhkan pasca perang dunia pertama turut gagal menghalangnya meneruskan cita-cita gila mereka. Maka kuasa-kuasa Bersekutu dan Soviet Union terpaksa menggunakan kekuatan ketenteraan mereka untuk menundukkan Nazi Jerman. Nazi Jerman berjaya dihapuskan dan kemudiannya wujud kuasa bipolar dalam dunia dengan kekuatan seimbang antara Amerika Syarikat dan Soviet. Mereka pula yang mempunyai kekuatan tiada tandingan.
Cukupkah undang-undang manusia untuk menghalang mereka daripada membuat kacau? Adakah mereka akan sentiasa kekal baik dan dapat memastikan semua manusia dapat hidup dengan bahagia?
Is Might Always Right?
Kalau undang-undang tidak cukup, apa lagi yang dapat mengawal mereka?
Enter religion.
Barangkali ada yang kini mula skeptical dengan tulisan saya. Goreng macam-macam punya la panjang, last-last nak cucuk jarum bab agama juga.
Work with me here.
Kita lupakan pasal Tuhan, pasal mana-mana enititi yang mempunyai kekuasaan terhadap kita, tentang konsep Higher Intelligence. Lupakan konsep dosa dan pahala, tentang balasan di akhirat. Lupakan kesemuanya.
Maka dengan ini kemandirian manusia untuk mencari kebahagiaan dalam hidup cuma bergantung sepenuhnya terhadap konsep layan orang lain seperti mana and ingin diri anda dilayan. Manusia pula terus menerus menjadikan agenda mencari kebahagiaan hidup sebagai misi utama bila mula mengenali erti hidup.
Manusia memperjuangkan erti kebebasan untuk mencari kebahagiaan hidup dengan variasi yang tidak mempunyai sempadan. Ada manusia yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian apabila sudah berkuasa menjadi pemerintah yang bersifat menindas. Dia menafikan hak orang lain untuk hidup bahagia. Ada manusia memperjuangkan hak homoseksual, hak berkahwin sesama jantina lantas meruntuhkan keutuhan struktrur sosio-biologi dalam masyrakat. Masyarakat tidak dapat membiak dengan baik, konsep keluarga nuklues jadi dipincangkan. Maka pejuang hak asasi golongan homoseksual telah menafikan hak masyarakat untuk hidup bahagia. Peniaga-peniaga yang mencari rezeki dengan berniaga kadang-kadang menipu/mengambil riba untuk hidup terus bebas dalam kebebasan kewangannya (financial freedom). Dalam mengejar financial freedom sendiri, dia menafikan hak orang lain untuk bahagia. Untuk contoh yang lebih berskala besar, Adolf Hitler memperjuangkan kebebasan orang German untuk mencari the new Living Space sehingga membunuh berjuta-juta umat manusia dan menyebabkan kesengsaraan hidup terhadap billion yang lainnya. Adolf Hitler menafikan hak orang lain untuk hidup bahagia. Dan kini orang Yahudi pula mengulangi sejarah yang pernah berlaku zalim terhadap mereka. Dalam mengejar kebebasan hidup sebagai masyarakat bernegara bangsa, mereka menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup bahagia.
Manusia tidak dapat dipisahkan daripada keinginan dan nafsu. Ini sudah merupakan trait biologi. Seringkali dalam pencarian kebebasan dan kebahagiaan untuk diri sendiri, kita melanggar hak-hak orang lain. Undang-undang mungkin ada atau tidak untuk mengawal kita, bahkan kadang-kadang undang-undang tidak mampu berbuat apa-apa pun seperti contoh dalam Perang Dunia Kedua. Jadi yang tinggal cumalah conscience kita untuk tidak melayan orang lain dengan buruk, kerana kita mempunyai batas-batas kemanusiaan, kerana kita tidak suka dengan perasaan-perasaan yang tidak menyenangkan itu.
Namun cukupkan kesedaran seperti ini? Apa yang baik bagi kita mungkin buruk dari pandangan orang lain. Dalam sesetengah perkara, sesuatu benda yang kita rasakan hak kita untuk berbahagia, mungkin sudah mencabuli hak orang lain, walaupun kita sudah sangat berhati-hati.
Jadi siapa yang menentukan batas-batas ini? Di mana letaknya garisan halus yang menentukan batas antara meneruskan hak sendiri untuk meneruskan hidup bahagia dengan pencabulan hak orang lain? Kalau ada batasnya, siapa pula yang menentukannya?
Sekarang sila terangkan kepada saya, kalau bukan agama, apa lagi yang tinggal untuk umat manusia?
p/s: Artikel ini saya debatkan dari sudut bagaimana agama dapat membaikpulih kekacauan dunia pada hari ini. dan saya rasa mana-mana agama pun boleh mencapai kata sepakat yang serupa dalam hal ini. Pada pandangan saya yang menganut agama Islam, sudah tentulah peranan agama lebih daripada itu.